Assalamu alaikum dan Selamat Sejahtera
Saya terpanggil untuk mengulas komen Suara Marhaien. Diharap ulasan saya ini tidak disalahmengertikan sebagai komen menghentam kepemimpinan sesiapa; niat saya supaya kita rakyat Malaysia, khususnya Muslim Melayu Malaysia, dapat menilai isu yang berkait rapat dengan perkembangan negara kita secara rasional dan objektif. Oleh itu sebelum saya menulis lebih lanjut, saya memohon maaf jika ada hati yang terhiris ataupun terguris.
Saya tidak nafikan era 22 tahun pemerintahan TDM membawa kebaikan kepada negara. Namun demikian, pemerhatian saya, seorang Muslim Melayu Malaysia (yang kritis tetapi ikhlas) ke atas pemerintahan TDM mendapati bukan sedikit kejahanaman yang dibawa Tun kepada negara ini. Ini yang saya maksudkan sebagai 'legacy' TDM - yang baik dan yang buruk.
Kejahanaman #1 - Mempopularkan budaya politik Machiavelli di dalam UMNO.
Pemerhatian saya mendapati TDM adalah seorang yang amat fokus dan bertekad tinggi. Kerap kali, beliau membuat keputusan secara autokratik dan kurang mengendahkan pendapat majoriti, dan kadang2 bertindak dengan 'matlamat menghalalkan cara'.
Beliau dijulang apabila bertindak membelakangkan nasihat IMF di dalam mentadbir kemelesetan ekonomi pada tahun 1997-98, namun ramai yang juga tidak lupa tindak-tanduk beliau yang seperti menyoal kuasa Raja-raja Melayu, merojakkan keterasingan badan eksekutif dan kehakiman dan mencabul kehormatan Bahasa Melayu. Semua ini seringkali dilakukan dengan bantuan cengkaman keras dan kemas terhadap semua media aliran perdana.
Kejahanaman #2 - Menjadikan UMNO sebagai wadah untuk politikus2 dengan yang akhlak yang syak.
Dengan matlamat membangunkan negara dengan cepat, TDM seperti seolah2 tidak mengendahkan tuntutan akhlak terhadap pemimpinnya. Anwar Ibrahim. Sabaruddin Chik. Megat Junid. Rahim Thamby. Osu Sukam. Senarainya amat panjang. Inilah asas kotoran politik parti yang akhirnya bernanah dan membisul.
Saya melihat Pak Lah cuba merungkai barah ini dengan membelahnya senyap2, namun ternyata barah ini lebih teruk daripada yang dijangkakan beliau. Hakikatnya, UMNO sekarang tidak mempunyai barisan yang ampuh untuk menandingi PAS yang dilihat lebih berketrampilan dan dinamik.
Kejahanaman #3 - Mengetengahkan budaya nepotisme dan kronisme di dalam pensyarikatan Malaysia.
Saya masih terngiang2 akan ucapan Datuk Dr Zahid Hamidi selaku Ketua Pemuda UMNO di dalam ucapannya di dalam Perhimpunan UMNO yang lampau. Kita maklum apa nasib yang menimpa beliau. Namun yang lebih penting, era pemerintahan TDM menyaksikan kebangkitan golongan korporat Melayu yang rata-rata didokong oleh polisi2 era kepemimpinan TDM.
Sebilangan mereka ini bangkitnya dengan segumpal awan tanda tanya di atas mereka. Masakan seorang individu boleh membuat pinjaman SEBANYAK RM1 BILION daripada kerajaan? Apa sudahnya cerita MAS itu sebelum masuknya Idris Jala?
Bagaimana pula kesudahannya dengan teraju2 Business Focus dan PSCI? Sime Bank? Perwaja Steel dan lain2?
MENGAPAKAH BUMIPUTERA BELUM MENDAPAT PELUANG SAMA RATA UNTUK MENDAPAT AP BAGI PENGIMPORTAN GULA?
Kejahanaman #4 - Memperkenalkan dasar2 yang menggugat kesejahteraan rakyat dalam jangka masa panjang.
Isu ini saya akui agak kontroversial, namun cuba kita fikirkan tentang Dasar Permotoran Negara yang dijulang TDM. Ideanya mungkin bernas namun kaedahnya? Bukankah dasar permotoran ini dimanefastasikan dengan kewujudan sebuah kereta nasional? Industri yang mulanya dibangga2kan namun kini dicemuh kerana perancangan yang gagal?
Bukan sahaja Proton dilahirkan dengan persetujuan yang tampak berat sebelah dan tidak menguntungkan malah korbannya adalah masalah pengangkutan yang kini menjadi isu nasional.
Kebanjiran kereta yang banyak menggalakkan pertumbuhan jalan raya bertol. Kepesatan minat generasi muda berkereta mencemarkan udara dan menyesakkan jalan-jalan. Industri pengangkutan awam terutamanya teksi dan bas juga turut lumpuh. Perancangan bandar juga dibuat dengan membelakangkan keperluan mendekatkan jarak penempatan dengan tempat kerja.
Maka apabila diturunkan dugaan Allah swt kepada rakyat dunia di dalam bentuk KENAIKAN HARGA PETROLEUM, kita di Malaysia lebih2 lagi, terpukul oleh kesan sabung-menyabung inflasi berasaskan petrol ini.
Satu lagi dasar yang amat menjerat negara adalah dasar kebergantungan kepada ekonomi negara bankrap Amerika Syarikat. Jika kita amati, pembangunan pesat negara dipacu oleh eksport industri ke negara AS. Maka nasib jatuh bangun negara ini sebenarnya terletak di bahu ekonomi negara berkenaan yang jikalau bukan kerana industri berasaskan peperangan mereka, sebenarnya menunggu masa sahaja untuk menjunam.
Jika telunjuk ini cepat menghukum, maka bukan PM sekarang yang patut dikambinghitamkan. Apabila TDM tidak lagi berkuasa, suara2 mula kedengaran menunjukkan kecacatan yang ada.
Maka yang kita perlukan sekarang bukan perpecahan. Bak kata Jata Negara:
"BERSEKUTU BERTAMBAH MUTU"
Sekian dan Wassalam.
No comments:
Post a Comment