Live Traffic Map

Note

Reproduction of all quotes from this blog is welcomed provided that due credit is attributed to the author.

Saturday, May 17, 2008

Kampung-kampung Kita

Assalamu alaikum dan Selamat Sejahtera kepada semua

Saya berpeluang untuk pergi ke beberapa kampung di dalam tempoh beberapa minggu yang lepas dan berpeluang membuat beberapa pemerhatian terhadap corak aliran sosial ('social trends') yang kini berlaku. Saya yakin bahawa trend2 ini juga turut berlaku di kawasan kampung lain di Malaysia, khususnya di pantai barat Semenanjung.

Di antara trend yang jelas dan tampak membimbangkan ialah trend migrasi luar bandar ke bandar oleh para belia yang sudahpun wujud lebih dari empat puluh tahun yang lalu. Secara amnya, migrasi yang menyumbang kepada kejadian fenomena KL ini didorong oleh kewujudan peluang pekerjaan di bandar yang menjamin kestabilan ekonomi imigran2. Di samping itu, di bandar-bandar besar, terdapat kemudahan dan prasarana seperti bekalan elektrik, sambungan bekalan air, hospital, dan sebagainya yang memberi taraf hidup yang lebih baik kepada penduduk bandar. Kini trend tersebut sudah sebati di Malaysia dan membawa kepada fenomena yang saya gelarkan sebagai fenomena 'Kampung Lengang' (KL).

Fenomena KL adalah membimbangkan kerana ia membawa kepada beberapa kesan yang buruk. Antaranya:

1. Keselamatan Penduduk Kampung
Di kampung2 sekarang ini, wujud isu keselamatan yang disebabkan oleh kebanjiran Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang menyelinap masuk ke kampung2 tanpa kawalan. Ada yang diupah untuk mengusahakan tanah2 yang terbiar, namun di sesetengah kampung seperti di Keru, Tampin mereka bermaharaja lela dengan merompak dan merogol penghuni kampung terutamanya janda2 yang tidak mempunyai suami atau anak muda tempat berlindung.

Oleh kerana tiadanya belia kampung untuk menjalankan rondaan dan menjaga kampung, maka saya mendapati PATI2 ini mengambil alih secara sah ataupun tidak.

2. Ekonomi Masyarakat Kampung
Oleh kerana ketiadaan para belia, saya mendapati wujudnya kawasan tanah terbiar yang banyak. Ini disebabkan penduduk kampung yang rata2 sudah tua dan sudah tidak berdaya untuk mengusahakan tanah2 tersebut. Di Sungai Balai Baroh, Bagan Datoh contohnya, tanah yang dipenuhi pohon2 kelapa adalah banyak tetapi tidak diusahakan walaupun kerajaan BN telah menyediakan jalan raya yang luas dan elok. Ini membawa kepada ironi betapa negara kita mengimport kelapa dari negara jiran untuk memenuhi bekalan tempatan!

Alangkah moleknya jika terdapat ramai belia berwawasan yang pulang ke kampung untuk membangunkan tanah2 yang terbiar ini. Sesungguhnya pengurangan aliran tunai ke luar negara serta beban inflasi adalah antara kebaikan yang dapat dinikmati oleh masyarakat dan negara jika ada di antara kita yang sanggup mengambil inisiatif mengusahakan industri asas tani di kawasan kampung.

3. Sosial Remaja Kampung
Di Slim Village, Slim River saya mendapati remaja belasan tahun yang sudah membabitkan diri dengan aktiviti hidu gam dan mengintai. Mereka ini tidak ke sekolah dan dibiarkan terabai tanpa panduan. Ini saya puncakan daripada ketiadaan golongan belia yang dapat memberikan panduan dan pantauan kepada golongan remaja di kampung tersebut. Golongan belia yang sepatutnya mengimamkan solat serta mengimarahkan surau2 semuanya sudah berhijrah ke bandar. Tiada belia yang menganjurkan aktiviti2 bermanfaat bagi kampung tersebut.

Golongan remaja yang sudah tamat sekolah juga tidak dapat kekal di kampung kerana ketiadaan industri yang diusahakan oleh belia kampung. Maka mereka ini terpaksa berhijrah juga dan seterusnya memburukkan lagi keadaan di kampung2.

Oleh yang demikian, saya menyeru kepada diri saya serta golongan belia yang berilmu dan berbakat supaya beriltizam untuk pulang ke kampung bagi membangunkan tanah2 kampung, khususnya menerusi Industri Kecil dan Sederhana (SME) yang berteraskan asas tani, eko dan agro pelancongan. Sesungguhnya ini merupakan di antara cara yang dapat membangunkan negara secara amnya dan juga ekonomi Melayu Muslim Malaysia secara khasnya.

Semoga Jihad ini diberkati Allah swt.

Sekian dan Wassalam.

No comments:

About Me

My photo
This blogger believes that time, of all things, is what wealth should be based upon and thus, death should be the best motivation for us to live life to the fullest.