Live Traffic Map

Note

Reproduction of all quotes from this blog is welcomed provided that due credit is attributed to the author.

Saturday, May 3, 2008

Mengurus Inflasi dengan Berkesan

Assalamu alaikum dan selamat sejahtera para pembaca sekalian

Sekarang ini rata-rata di Malaysia hangat dengan isu inflasi. Beberapa hari lepas, timbul pula isu kekurangan beras di Kedah dan juga konflik di antara MTUC dengan kerajaan BN mengenai permintaan gaji minimum RM900. Semua ini berkait rapat dengan inflasi.

Apa itu inflasi dan mengapa ia begitu memberi kesan kepada kita, mungkin itu pertanyaan orang di jalanan ('people on the street'). Sebenarnya, inflasi itu adalah satu keadaan di mana berlaku kenaikan harga barang berbanding dengan pendapatan. Maka, 'kuasa membeli' rakyat semakin susut.

Kita mungkin pernah mendengar cerita ibu bapa / nenda kita mengenai bagaimana mereka berbelanja sewaktu bersekolah dulu. Kata mereka, dengan wang saku 10 sen mereka boleh berbelanja dengan mewah; 5 sen untuk roti krim, atau nasi lemak dan 5 sen lagi untuk ais kepal yang merupakan manisan yang amat popular dulu. Namun demikian harga sekarang untuk kedua-dua makanan itu adalah 50 sen dan RM1.

Jika pendapatan orang tua dulu-dulu tidak berubah (katalah RM500), maka kita melihat inflasi berlaku kerana kenaikan harga roti krim sebanyak 900 peratus! Secara logik, kemungkinan besar rata-rata kita akan berhenti membeli roti krim dan hanya makan biskut kering sahaja!

Dibawa ke dalam konteks yang lebih besar kita melihat kenaikan harga petroleum yang membawa kepada kenaikan harga barang-barang asas. Beras, gandum, gula, minyak masak, ikan, daging dan sayur-sayuran semuanya bergantung kepada sistem pengangkutan yang diasaskan oleh petroleum. Maka jika kita tidak bijak mengurus inflasi, kemungkinan besar kita akan dihimpit oleh masalah kewangan.

Sebenarnya, terdapat satu sifat inflasi yang perlu kita fahami supaya kita dapat mengurus inflasi dengan berkesan. Sifat yang saya maksudkan itu ialah inflasi berkait langsung dengan peraturan bekalan dan permintaan ('the law of supply and demand'). Dengan memberi contoh yang mudah, harga durian dulunya mahal kerana bekalan durian adalah mengikut musim. Namun setelah negara ini dibanjiri oleh durian Thailand yang berbuah sepanjang tahun, kita lihat harga durian jatuh merudum. Ini kerana bekalannya melebihi permintaan asal.

Satu perkara yang rakyat Malaysia (termasuk saya) harus juga maklum adalah inflasi tidak boleh dibendung dengan kenaikan gaji. Malah, tindakan menaikkan gaji merupakan satu tindakan yang berbahaya kepada ekonomi kerana ia seperti menyiram petrol ke atas bara inflasi! Contoh yang kita dapat lihat adalah apabila kerajaan BN pada 2007 mengisytiharkan kenaikan gaji kakitangan kerajaan sebanyak 40 peratus, harga barang-barang juga turut naik dengan mendadak.

Oleh yang demikian, tindakan-tindakan yang dapat mengawal inflasi secara berkesan seharusnya sejajar dengan peraturan bekalan dan permintaan, iaitu berpusar kepada aktiviti-aktiviti meningkatkan bekalan atau mengurangkan permintaan di Malaysia. Di sinilah kerajaan harus melihat di mana kelemahan yang ada yang boleh diperbaiki.

Antara prinsip yang boleh diterima pakai di Malaysia bagi membendung inflasi ialah dengan mengurangkan pembaziran dengan cara penggunaan sumber dengan berhemah. Pembaziran masa, tenaga dan wang di dalam pekerjaan seharian secara langsung atau tidak langsung akan meningkatkan inflasi.

Renungkanlah: anda seorang suri rumah yang boros. Setiap hari anda membeli ikan dan daging untuk dimasak tetapi rempah dan sayuran lain dibeli lebih daripada keperluan lauk tersebut. Beras juga dimasak lebih daripada yang selalu dimakan. Maka setiap minggu terdapatlah nasi, lengkuas, limau nipis, serai, dan sebagainya yang busuk dan perlu dibuang. Secara tidak langsung, anda menyumbang kepada inflasi kerana apabila suri rumah tidak membazir, anda tidak perlu membeli barang lebih. Maka harga barang sebenarnya lebih rendah jika tidak berlaku pembaziran.

Secara lebih mendalam, inflasi boleh dikawal jika kita (secara teorinya) boleh melenyapkan terus permintaan terhadap sesuatu barangan. Ini termasuklah barang mewah seperti barang luar negara yang mempunyai duti import. Di dalam konteks suri rumah tadi, anda boleh menanam sendiri limau, kunyit, lengkuas dan sebagainya untuk kegunaan sendiri. Malahan, tidak keterlaluan pula jika sebuah keluarga itu bertukar-tukar hasil tanaman dengan jiran; dengan ini kita melihat amalan sedekah dan kebajikan boleh menumbangkan inflasi.

Inflasi boleh juga dibendung apabila produktiviti individu itu bertambah. Bukan sekadar di tempat kerja, malah jika masa dapat digunakan sebaiknya, pendapatan boleh ditingkatkan dan perbelanjaan isi rumah pula dapat dikurangkan.

Satu langkah yang mungkin dilihat kontroversial adalah apabila salah seorang pasangan itu berhenti bekerja dan sebaliknya mengurus rumah tangga. Ini kerana pengorbanan daripada segi kemajuan diri dan pelaburan modal insan (oleh individu, penaja pendidikan dan juga kerajaan) mungkin dilihat tidak berbaloi dengan pulangan daripada segi kewangan. Namun demikian, jika sebuah keluarga itu mempunyai bilangan anak (kecil) yang ramai dan pasangan yang merupakan sumber pendapatan itu boleh mendapat keuntungan dari segi rebat cukai dan penjimatan kos menghantar anak ke taman asuhan, cadangan ini haruslah dipertimbangkan dengan mendalam.

Terdapat juga aspek makroekonomi yang menyumbang kepada inflasi. Jika ada kesempatan, saya akan ulas di blog ini nanti.

Berbalik kepada inflasi tadi, kita boleh berjuang bersama-bersama menumbangkan inflasi jika antara lain, kita dapat:

1. Mengamalkan cara hidup yang sihat dengan bersenam dan mengamalkan diet seimbang.
2. Mengurangkan minum pagi di kedai dan warung kopi. Sarapan ala kadar di rumah.
3. Membasuh baju sendiri seminggu sekali dan seterika baju semua sekaligus.
4. Mengurangkan sewa Astro kepada yang perlu sahaja.
5. Berpuasa pada Isnin dan Khamis bagi orang Islam.
6. Menanam sendiri herba dan sayuran seperti daun kunyit, cili, limau dan kangkung.
7. Mengumpul barangan terbuang seperti tin aluminium dan suratkhabar lama untuk dikitar semula.
8. Berpindah ke kawasan yang berdekatan dengan kemudahan awam dan tempat kerja. Seelok2nya mendiami unit kuarters pekerja jika menyewa.
9. Berhenti kerja sekiranya kos untuk bekerja itu lebih tinggi daripada kos untuk tidak bekerja.
10. Membeli barang pasar mengikut harga patut. Jika mahal, jangan beli dan gesa jiran supaya lakukan yang serupa.
11. Membasuh kereta sendiri apabila benar-benar perlu.
12. Bergunting rambut di kampung. Lebih elok jika dapat belajar menggunting rambut.
13. Mengelak daripada membeli barang yang berduti atau bercukai.
14. Mencaj bateri telefon bimbit dan laptop di pejabat.
15. Mengurangkan pengambilan gula dan makanan manis.
16. Mengurangkan merokok dan minum arak (bagi yang bukan Islam)
17. Memotong rumput laman sendiri.
18. Meningkatkan kemahiran sendiri dan sentiasa mempelajari ilmu baru (servis kereta, potong rumput, gunting rambut, baiki komputer, sembelih binatang dan sebagainya).
19. Mengimbangi aktiviti santai keluarga; mengurangkan menonton wayang gambar dan melebihkan aktiviti berkelah di taman awam.
20. Memastikan kenderaan (terutamanya angin tayar) sentiasa berada di dalam keadaan baik.

Sememangnya, satu perkara asas yang kita tidak boleh lupa ialah dengan membuat perancangan di dalam segala aktiviti kita. Semakin kos hidup meningkat, semakin tinggilah risiko ekonomi yang kita harus tanggung jika tersilap langkah.

Sekian dan Wassalam.

No comments:

About Me

My photo
This blogger believes that time, of all things, is what wealth should be based upon and thus, death should be the best motivation for us to live life to the fullest.