Pagi semalam seorang sahabat yang juga merupakan ketua saya mengeluh sambil mengadu tentang nasib isteri beliau yang kini mencari 'padang ragutan' baru disebabkan keputusan Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya yang mengubah sesi persekolahan rendah di Putrajaya kepada sesi penuh sehingga jam 5 petang.
Walaupun sudah dikecam hebat sewaktu sesi perbincangan terbuka oleh sebilangan para guru yang dijemput memberikan pandangan, pegawai atasan berkenaan masih tidak berganjak daripada keputusannya yang dibuat tanpa kajian ataupun maklumbalas yang menyeluruh. Ini seolah-olah sudah menjadi trend tetap di bidang pendidikan, khususnya pendidikan peringkat rendah. Belumpun pulih daripada isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik di dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), isu ini pula muncul sambil mengukuhkan lagi hujah para akademik bahawa pendidikan di Malaysia dibinasakan oleh dasar-dasar yang digubal secara top-down.
Sepertimana PPSMI, idea persekolahan rendah bersesi penuh adalah pada asasnya baik. Namun yang demikian, perancangan yang rompang hasil daripada sifat maghror pegawai penggubal dasar merupakan gunting dalam lipatan kepada aspirasi kerajaan membikin kemajuan pendidikan yang mantap. Seolah-olah perancang dasar tidak memikirkan tentang kesulitan ibu-bapa murid yang terpaksa menguruskan makan minum dan mandi tanpa prasarana yang mencukupi.
Soal utama yang dibangkitkan guru adalah tentang anak2 mereka sendiri yang bakal menjadi korban kepada polisi tersebut. Jikalau sibuk dengan mengajar hingga ke petang, masakan guru2 ini punya masa yang cukup untuk menyediakan makan pakai anak2 mereka sendiri?
Kini guru2 di Putrajaya sedang mencari alternatif lain termasuklah memohon pertukaran ke negeri lain. Sudahlah gaji yang diterima sama (walaupun beban masa kerja bertambah), kebajikan mereka seperti diperlekehkan pihak atasan.
Jika para guru di Putrajaya mengajar dalam keadaan protes, besar kemungkinan prestasi murid di kawasan itu bakal terjejas. Natijah daripada ini bakal merugikan banyak pihak, termasuklah ibu bapa, para guru, pentadbir dan penggubal dasar sekolah serta murid itu sendiri.
Semoga kita sedar bahawa situasi lose-lose ini tidak membawa apa2 manfaat kepada negara.
Wassalam
No comments:
Post a Comment