Sambutan tahun Masihi yang baru tampak lebih meriah daripada sambutan tahun Hijriyah yang lalu. Apakan tidak, tahun Masihi ini diguna pakai di seluruh dunia dan oleh sebab itu sambutan tahun baru Masihi lebih komersil sifatnya dan dijadikan sebab untuk mengilhamkan azam yang baru. Tahun Hijriyah dengan nilai Islamiknya pula dikatakan tidak meriah, tidak seronok kerana semakin berumur seseorang itu, semakin teringat ia akan mati!
Islam menganjurkan umatnya mengingat selalu kepada mati supaya kita tidak mensia-siakan peluang beramal semasa kita hidup. Islam juga mengharuskan sambutan mengikut lunas yang ditetapkan. Baru2 ini satu garis panduan telah dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam penganjuran majlis sambutan tahun baru. Oleh yang demikian, Melayu Muslim Malaysia akan diharap lebih maklum mengenai adab yang sesuai bagi menyambut perayaan seperti ini.
Saya terpanggil juga untuk memberi ulasan peribadi mengenai 'azam tahun baru'. Bagi saya, nikmat masa yang diberi AlLah swt kepada kita hanya Dia sahaja yang menentukan. Jadi untuk kita menunggu 'tahun baru' bagi menanam azam baru bunyinya seperti tidak masuk akal kerana kita sendiri tidak mampu tahu sama ada kita dapat melihat tahun baru! Bukankah lebih elok kita tidak menunggu2, lantas pantas menyentap peluang masa yang sudah terhidang di depan mata. Inilah waktunya yang sesuai untuk kita berpaling kepada isteri dan suami kita, ibu dan ayah kita, mertua kita dan anak-anak kita dan mengucapkan kalimah "maaf" ataupun "saya sayang kamu" atau "terima kasih" kerana kita tidak tahu bila masanya Izrail as akan menunggu di pintu.
Inilah juga masanya untuk kita penuhi senarai yang selama ini kita kumpulkan tetapi tidak kita penuhi. Bersolat subuh berjemaah, berkhatam Al Qur'an dua kali setahun, mengurangkan berat badan 5kg, menghabiskan novel 'Muhammad Akhir', mendaki puncak Kinabalu, belajar bahasa Arab.. semua azam ini akan kita peroleh pahala sekiranya niat kita adalah kerana AlLah swt.
Oleh itu saya dengan rendah hati ingin menyeru kepada diri saya dan juga para pembaca yang dikasihi agar tidak terpengaruh dengan persepsi masa yang mengelirukan. Takwim hidup kita adalah lain daripada orang yang lain jadi janganlah kita menunggu orang ataupun menunggu kononnya 'masa yang sesuai'.
Saya pernah ditanya orang soalan ini: Bilakah masanya yang sesuai untuk sesorang itu berhenti kerja? Jawapan saya pendek: "Semalam!" Seperti pepatah Arab yang mengumpamakan masa itu seperti pedang; sekiranya kita tidak memotongnya maka masa akan memotong kita!
WalLahu A'lam
AAAA
No comments:
Post a Comment