Assalamu alaikum dan Selamat Sejahtera
Pertama kali saya menjejakkan kaki ke bumi Langkawi, hati saya sudah tertawan. Ketenteraman yang wujud daripada kemesraan masyarakatnya dan keindahan bentuk muka buminya memang tidak boleh dibandingkan dengan mana2 tempat di Malaysia.
Kenangan bercuti santai bersama keluarga selama 7 hari memang merupakan ingatan yang amat indah, terutamanya setelah saya meyakinkan diri bahawa sebelum saya bercita2 mahu bercuti di negara orang, lebih moleklah kiranya saya menjelajah negara sendiri. Maklumlah, jika kita bercerita beriya2 tentang Niagara Falls dan Ipanema, Suq di Marrakech dan Menara Eiffel tetapi terkaku bisu tatkala ditanya orang asing tentang pekan Kuah, kolam Gadek, Hutan Lipur Lentang dan Terubuk Masin Sarawak, bukankah ironik (atau pelik) namanya?
Oleh yang demikian, saya berasa sedih apabila membaca
nasib yang bakal menimpa bumi Langkawi. Bukanlah untuk menuding, tetapi perubahan polisi pengurusan kewangan kerajaan yang lebih berjimat dan pertukaran tampuk pemerintahan negeri Kedah mungkin merupakan antara faktor utama di sebalik keputusan ini.
Maka gembira saya ini berbaur sedih. Gembira kerana kerajaan yang dipilih 'cakap serupa bikin'. Sedih pula kerana mengenangkan bakal nasib pengusaha chalet di Pantai Tengah dan peniaga Warung Makan Fatimah di Ulu Melaka, penjual ikan bilis tersohor di Pantai Pasir Hitam, peniaga kraf di Pusat Kraf Langkawi dan para nelayan Persatuan Nelayan Langkawi. Mungkin juga nasib yang sama buruknya bakal menimpa Chef Jepun istimewa di The Loaf milik TDM di Telaga Quay!
Oleh itu saya membina azam untuk mengelakkan kemuraman daripada melanda bumi Mahsuri; iltizam saya ialah untuk mengumpul wang untuk membawa keluarga sekali lagi ke Langkawi. Saya akan juga mengajak rakan dan taulan selain daripada beberapa rakyat asing yang saya kenali untuk naik mengunjungi Langkawi. Pada saya patriotisme bukan bererti bertegang leher melaung2kan 'Merdeka'; ia seharusnya ditunjukkan dengan membeli khidmat dan barangan Malaysia.
Jika khidmat atau barang yang kita beli itu tidak bermutu, janganlah senyap dan mengelak untuk membelinya lagi. Sebaliknya, bantulah peniaga itu meningkatkan mutu barangannya dengan memberikan maklumbalas yang tulus dan sewajarnya. Itulah pada saya cara menunjukkan kasih kepada bangsa dan wangsa.
Siapakah lagi mahu bersama2 saya ke Langkawi pada hujung tahun ini?